LAPORAN TAHUNAN 2024 UNIT AUDIT DALAM KEMENTERIAN PENDIDIKAN
Laporan Tahunan 2024
PENGURUSAN KURSUS DI INSTITUT AMINUDDIN BAKI
1.
LATAR BELAKANG
1.1. Institut Aminuddin Baki (IAB) ditubuhkan pada Mac 1979. Sehingga tahun 2024, terdapat lima IAB di seluruh Malaysia iaitu IAB Bandar Enstek (IABBE) selaku IAB Induk, IAB Cawangan Genting Highlands (IABCGH), IAB Cawangan Utara (IABCU), IAB Cawangan Sabah (IABCSBH) dan IAB Cawangan Sarawak (IABSWK). 1.2. IAB berperanan sebagai institusi latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan bagi membangunkan keupayaan pengurus dan pemimpin pendidikan di semua peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menghasilkan organisasi pendidikan yang berkualiti. Program latihan disediakan dalam pelbagai bentuk pembelajaran seperti kursus, persidangan, latihan semasa bekerja dan program mentoring/coaching yang menyumbang kepada pembangunan individu dan kecemerlangan organisasi. 1.3. Berdasarkan Dasar Latihan IAB, kursus utama IAB termasuklah Kursus Institusi, Kursus Pembangunan Profesional Berterusan, Kursus Luar, Kursus Latihan dan Pembangunan Kepakaran Pensyarah serta kursus yang diarahkan KPM. Kursus ini ditawarkan kepada pemimpin pendidikan pelbagai gred jawatan yang bertugas di sekolah di bawah kawalan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Bahagian di KPM. Pemilihan peserta kursus yang dilaksanakan di IAB Induk dan cawangan adalah berdasarkan zon. 1.4. Kemudahan dan fasiliti disediakan kepada peserta kursus seperti makmal komputer, bilik mesyuarat e-learning, i-studio dan asrama bagi memastikan pelaksanaan kursus dijalankan dengan sempurna dan selesa. Bagi tempoh tahun 2021 hingga 31 Ogos 2024, sejumlah RM331.12 juta peruntukan program latihan telah diterima IAB dan sebanyak RM306.03 juta (92.4%) telah dibelanjakan.
2.
OBJEKTIF PENGAUDITAN
Pengauditan ini dijalankan untuk menilai sama ada pengurusan kursus di IAB telah dirancang dan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta mencapai objektif membangunkan keupayaan pengurus dan pemimpin pendidikan.
Unit Audit Dalam Kementerian Pendidikan Malaysia
92
Made with FlippingBook - Share PDF online