LAPORAN TAHUNAN 2024 UNIT AUDIT DALAM KEMENTERIAN PENDIDIKAN
Laporan Tahunan 2024
PENGURUSAN SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH
1.
LATAR BELAKANG
1.1. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Wajib mengenai kemasukan murid ke sekolah. Surat Pekeliling Ikhtisas KPM bertarikh 11 Mac 2009 menyatakan kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen tetapi salah seorang ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah warganegara, boleh didaftarkan sebagai murid di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan. 1.2. Pada tahun 2011, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur (SBJK KL) telah ditubuhkan bagi memberikan akses pendidikan formal kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur. SBJK KL mula beroperasi pada 19 Ogos 2013 untuk menyediakan akses pendidikan formal dalam persekitaran yang kondusif dan memberi peluang membentuk laluan kerjaya kepada kanak-kanak kurang bernasib baik. Sehingga Ogos 2024, seramai 140 murid telah mendaftar di SBJK KL melibatkan tahap pendidikan prasekolah, rendah dan menengah. 1.3. Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keramat merupakan pihak yang terlibat dalam pengurusan SBJK KL. Antara peranan dan tanggungjawab pihak tersebut ialah mengurus, menyelaras dan melaksana pengoperasian berkaitan SBJK KL serta melapor kepada BPSH dari semasa ke semasa.
2.
OBJEKTIF PENGAUDITAN
Pengauditan ini dijalankan untuk menilai sama ada pengurusan SBJK KL telah diuruskan dengan berhemat, cekap dan berkesan selaras dengan objektif yang ditetapkan iaitu menyediakan akses pendidikan formal dalam persekitaran yang kondusif dan memberi peluang membentuk laluan kerjaya kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.
Unit Audit Dalam Kementerian Pendidikan Malaysia
106
Made with FlippingBook - Share PDF online